EPILOG - LAUT SENTIASA SETIA PADA PANTAI BEGITULAH JUGA KASIH KU KEPADA MU
Epilog
Langkah Hang Tuah longlai ketika mayat yang tidak bernyawa itu dilemparkan ke hadapan balairung istana. Jeritan rakyat bergema, bercampur dengan sorak kemenangan, sedih dan lega yang bercampur-baur. Sultan tersenyum puas, para pembesar mengangguk-angguk tanda restu. Tetapi di dada Tuah, perasaan yang terpendam merobek bagai ribuan mata lembing.
Air matanya jatuh bukan kerana darah yang tertumpah, tetapi kerana kasih yang tidak sempat diungkapkan. Dari awal lagi, Tuah tahu Jebat bukanlah pengkhianat sebenar — Jebat hanya korban dari sebuah sistem yang pincang. Dia melihat bagaimana sahabat yang dianggap adik itu menderita di dalam istana, terkurung oleh sumpah setia dan gelora jiwa yang memberontak.
Di hadapan khalayak, Tuah berdiri sebagai pahlawan yang menang. Tetapi dalam hatinya, dia kalah — kalah kepada perasaan, kalah kepada takdir yang merenggut persaudaraan mereka. Dan saat keramaian mula beredar, hanya suara hatinya yang tinggal, bergema dalam sepi istana yang berlumuran darah.
Wahai Jebat,
dari awal aku tahu,
kau benci dinding istana yang sempit ini,
kau rindu laut yang terbuka,
di mana angin jadi sahabat,
dan ombak jadi tempat engkau bebas ketawa.
Aku melihat derita di matamu,
namun aku bisu,
terikat janji pada tahta,
sedang hatiku ingin menyambar tanganmu,
membawamu lari jauh dari semua ini.
Jebat…
Engkau menjerit tentang rakyat,
engkau marah tentang keadilan,
dan aku, si "anjing istana",
diam-diam mengangguk pada kebenaran kata-katamu.
Namun, tanganku masih menggenggam pedang setia,
dan kerana itu… aku kehilanganmu.
Hari ini,
aku lemparkan jasad palsu ke tanah ini,
tetapi yang mati sebenarnya,
adalah hatiku sendiri.
Jika takdir membawa engkau kembali ke laut,
ingatlah wahai adikku,
armadamu tidak akan pernah kehilangan nahkodanya.
Di mana pun engkau berada,
aku masih di sini…
menunggu kita kembali bertemu
— di laut kita bersama.
Comments
Post a Comment