BAB 9– BENIH BENIH LUKA

Hang Tuah kembali dari Pahang bersama Tun Teja, puteri yang cantiknya jadi buah mulut seluruh Melaka. Sultan begitu murka pada awalnya kerana kisah Tun Teja dipujuk dengan helah, tetapi akhirnya hati baginda cair apabila melihat seri wajah sang puteri. Istana kembali meriah, penuh tawa, penuh pesta. Nama Tuah kembali diagungkan — “tiada yang setanding Laksamana Melaka.”
Namun, pada saat gendang istana bergema, jauh di sudut kampung, Jebat termenung sendirian. Dia teringat bagaimana Tuah pergi tanpa pesan, tanpa menoleh pada sahabat-sahabat yang dahulu sama-sama berjanji. Baginya, itu bukan sekadar perjalanan membawa puteri, tetapi simbol bagaimana Tuah sudah menjadi milik istana — bukan lagi milik mereka berlima.
“Tuah… kau kini Laksamana Sultan, bukan lagi nahkoda kecil di atas sampan bersama kami,” bisik Jebat, pahit.
Beberapa bulan kemudian, satu perintah besar datang: Sultan mengutuskan Hang Tuah ke Majapahit sebagai duta kebesaran Melaka. Tugasnya berat — membawa warkah, hadiah, dan panji-panji untuk menunjukkan Melaka bukan negeri kecil, tetapi empayar yang sedang bangkit.
Tuah berangkat, penuh taat. Kasturi, Lekir, dan Lekiu bangga, tetapi Jebat hanya diam. Hatinya retak melihat Tuah pergi lagi, kali ini jauh ke tanah Jawa.
Di Majapahit, sejarah mencatatkan Tuah berdepan hinaan. Para pembesar Jawa memperlekehkan pakaian dan cara Tuah. Ada yang mengejek, ada yang menguji dengan pertarungan senjata. Namun, dengan kebijaksanaan dan keberanian, Tuah menangkis semua penghinaan. Kerisnya bersilang dengan pendekar-pendekar Jawa, tubuhnya bergerak lincah, petah lidahnya menegakkan maruah Melaka. Akhirnya, istana Majapahit tunduk hormat, mengakui kehebatan Laksamana Melaka.
Berita kejayaan itu pulang lebih cepat daripada Tuah sendiri. Di Melaka, Sultan mendengar khabar dan bersorak gembira. “Inilah Laksamana ku! Inilah penegak maruah Melaka!” Hadiah-hadiah disediakan, kedudukan Tuah makin tinggi, dan segala pembesar yang iri hati pun terpaksa senyum manis.
Tetapi di balik senyuman itu, Jebat melihat sesuatu yang jijik. Dia lihat ada pembesar menjilat Sultan di depan, menghasut di belakang. Ada yang memuji Tuah pada siang, tetapi mengutuk pada malam. Jebat yang selalu berkunjung ke kota mula kenal wajah-wajah munafik ini.
“Beginikah dunia istana? Penuh tawa di hadapan, penuh racun di belakang. Dan Tuah… kau tetap setia pada mereka, meski mereka tidak pernah setia padamu.”
Di kampung, malam-malam Jebat lebih sunyi. Dia kembali ke sungai, naik sampan kecil, teringat janji yang pernah terucap. “Tuan nahkoda, akan ku lindungi hingga hujung nyawa…” Kata-kata sendiri terngiang-ngiang, bagai luka yang tak sembuh.
Kasturi kadang-kadang cuba menenangkan, tetapi dia tahu Jebat lain daripada mereka. Jebat bukan sekadar rindu pada Tuah, tetapi makin lama makin muak dengan wajah istana. Dia mula lihat Sultan sebagai punca jarak antara mereka berlima. Sultan dan pembesar itulah yang telah “merampas” Tuah daripada persahabatan mereka.
Benih kebencian itu halus, tetapi sudah tumbuh.
Saat Tuah pulang dari Majapahit, istana bergema sekali lagi. Sultan menyambut bagai wira pulang perang. Rakyat bersorak, nama Tuah disebut di jalanan. Tetapi dari jauh, di balik tiang rumah usang, Jebat hanya memandang. Air mata bergenang, bercampur bangga dan benci.
Bangga kerana Tuah membuktikan Melaka bukan negeri kecil.
Benci kerana Tuah kini sepenuhnya milik Sultan dan istana, sementara sahabat-sahabatnya ditinggalkan bagai bayang-bayang masa lalu.
Di dalam hati Jebat, suara kecil mula menjerit:
“Kalau inilah wajah keadilan, maka aku lebih rela jadi penderhaka daripada jadi boneka!”

Comments

Popular posts from this blog

Movie BANGUNAN by Khir Rahman??? macam bodoh je~

Filem Sheriff.... Twist sana... Twist sini... Jomlah Makan Twister

Brand's InnerSHINE Prune Essence with Camu Camu