Bab 10 – Pertemuan di Selat Gelap

Malam itu laut beralun resah. Angin dari Selat Melaka membawa bau garam yang menusuk, bulan hanya separuh, bersembunyi di balik awan kelabu. Jebat berdiri seorang diri di hujung perahu kecil yang dipinjamnya dari nelayan Kampung Morten. Dadanya sarat – antara rindu pada Tuah yang makin jarang kelihatan, kecewa pada istana yang makin dipenuhi pembesar tamak, dan benci pada dirinya sendiri kerana masih terikat pada sumpah lama: “Akan kulindungi mu hingga ke hujung nyawa…”
Tiba-tiba bayangan hitam muncul dari kabus – beberapa sampan besar merapati, obor terjulur, mata-mata liar memandangnya. “Lanun,” bisik Jebat. Dia tidak gentar, malah keris di pinggangnya terasa bergetar, seakan menunggu darah.
Seketika kemudian, seorang lelaki tua melangkah ke hadapan. Tubuhnya bongkok, bersandar pada tongkat kayu hitam. Wajahnya disembunyikan oleh topeng kayu kasar, ukiran menyerupai wajah hantu laut. Tanpa sepatah kata, lelaki tua itu meluru, menetak tongkatnya seperti pedang. Jebat mengelak, kemudian membalas dengan libasan keris. Dentuman kayu dan besi bertingkah di udara malam, percikan api keluar setiap kali mereka berlaga.
Lanun-lanun yang lain mengelilingi, namun tidak seorang pun masuk campur. Pertarungan itu bagaikan satu ujian. Nafas Jebat jadi sesak, namun semangatnya tidak luntur. Dia mula menguasai rentak – serangan kerisnya makin tajam, makin berbahaya. Hingga akhirnya, satu tendangan kerasnya membuatkan lelaki tua itu terhumban ke pasir pantai kecil, topeng kayu hampir terlerai.
Jebat menekup keris ke dada lawannya, tepat ke arah jantung. Saat itu lelaki tua ketawa – ketawa yang bergema, dalam, menggetarkan malam. “Jangan bunuh dia,” katanya kepada anak-anak lanun yang makin mara. Aneh, kata-katanya bukan dengan suara seorang tewas, tetapi seakan seorang guru menguji muridnya.
Perlahan, dia mengangkat tangannya, membuka topeng itu. Wajahnya berkerut, rambut putih berserabai, namun matanya tajam, seperti masih muda. Jebat terdiam. Dia kenal wajah itu.
“Engkau…” Jebat mengundur sedikit, keris masih di tangan. “Aku pernah nampak kau di pulau kecil, dekat laut lepas… ketika aku masih anak muda.”
Orang tua itu tersenyum sinis. “Ya. Aku tahu kau. Wajahmu… darahmu… semuanya darah pelaut. Dari mata sahaja aku nampak cintamu pada lautan, lebih dalam dari cintamu pada istana yang kau bela sekarang.”
“Engkau lanun,” balas Jebat keras. “Mencuri, merompak, membunuh!”
“Lanun?” Orang tua itu ketawa lagi. “Kami hanya merampas dari orang kaya yang menindas kami. Kami ambil kembali apa yang dirampas daripada rakyat. Kau fikir pembesar di Melaka itu suci? Tidak, anak muda. Mereka lanun juga – cuma bersampin dan berpayung emas.”
Jebat diam, dada berombak. Kata-kata itu menikam fikirannya.
Namun dia menghunus keris sedikit lagi. “Mencuri tetap salah. Kau dan mereka tiada beza.”
Orang tua itu bangkit perlahan, bersandar pada tongkatnya. Dia mendekati Jebat, wajahnya rapat. “Bezanya, aku jujur dengan dosaku. Mereka sembunyikan kerakusan di balik daulat dan titah. Kau masih muda, masih terikat dengan nama Tuah… dengan istana. Tapi aku lihat… kau tidak sama seperti abangmu itu. Dia setia pada raja, meskipun raja zalim. Kau pula… matamu menyimpan api.”
Jebat menghela nafas, hatinya bagai dirobek. “Aku bukan seperti Tuah…” katanya perlahan.
Orang tua itu mengisyaratkan ke arah Selat yang luas, gelap, berombak. “Itulah hidupmu. Laut, angin, kebebasan. Jika suatu hari nanti kau muak dengan istana, muak dengan manusia yang menipu atas nama daulat… datanglah padaku. Anak-anakku akan menanti. Kita hidup bebas, kita hukum mereka dengan cara kita.”
Dengan satu isyarat tangannya, lanun-lanun lain menghilang ke sampan masing-masing, deras meredah ombak. Jebat berpusing ke belakang – sekelip mata pantai itu kosong, seolah-olah tiada siapa pernah hadir. Hanya bunyi ombak menghempas dan bulan separuh yang perlahan muncul semula.
Dia berdiri lama, keris di tangan, jiwanya goncang. Kata-kata orang tua itu terngiang-ngiang.
“Engkau bukan seperti abangmu.”
Dan buat pertama kali, Jebat merasakan bahawa sumpah lamanya pada Tuah mungkin tidak akan mampu dia kotakan.

Comments

Popular posts from this blog

Movie BANGUNAN by Khir Rahman??? macam bodoh je~

Filem Sheriff.... Twist sana... Twist sini... Jomlah Makan Twister

Brand's InnerSHINE Prune Essence with Camu Camu