Bab 20: Sumpah Seorang Anak Pelaut Di Sungai Duyong

Suatu malam, di pantai sunyi, Tuah berdiri merenung ke laut. Ombak menyapa perlahan, seolah-olah memanggil pulang. Dalam renungan itu, hadir bayangan seorang lelaki. Mereka beradu senjata — percikan api memantul di bawah cahaya bulan. Nafas Tuah terhenti tatkala dia sedar... itu Jebat.
"Engkau masih hidup..." bisik Tuah, separuh terkejut, separuh lega.
Jebat hanya tersenyum. "Laut tidak pernah meninggalkan kita, Tuah. Daratan penuh dusta, penuh kezaliman. Jika engkau penat menjadi alat kepada seorang raja zalim, kembalilah. Kita masih boleh menjaga tanah air melalui laut."
Sebelum menghilang, Jebat sempat berpesan, "Aku sentiasa ada, memerhati langkahmu. Jika engkau benar-benar bebas, laut akan menerimamu semula."
Bayangan Jebat ghaib dalam kabus, meninggalkan Tuah dengan dada yang berombak resah.
Tidak lama kemudian, Sultan menitahkan sesuatu yang lebih gila — menghantar rombongan meminang Puteri Gunung Ledang. Permintaan itu telah menjadi bahan jenaka seluruh negeri. Saat Tuah menghadap Sultan, murka raja memuncak.
“Engkau ingat beta tidak tahu?! LANUN BERJUBAH ITU JEBAT! Dasar pengkhianat! Engkau boleh lepaskan dia, engkau biarkan dia hidup dan kini rakyat lebih mengangkat seorang lanun daripada beta?!”
Dentuman suara Sultan bergema dalam balairung seri.
“Sekarang, beta mahu engkau menebus kembali taat setia itu! Pastikan Puteri Gunung Ledang menerima pinangan ini. Jangan sangka kesalahan lama engkau beta lupa!”
Tuah tunduk, langkahnya longlai. Kata-kata Sultan itu menikam jantungnya. Peristiwa puluhan tahun dahulu kini menghantuinya kembali.
Rombongan pun berangkat ke Gunung Ledang. Tetapi jawapan puteri itu tegas, menusuk jiwa Tuah:
“Beta tidak akan mengkhawini raja yang zalim dan berhati batu. Sanggup mengorbankan rakyat dan anakanda sendiri semata-mata kerana nafsu kuasa? Itu bukan cinta. Itu bukan kemuliaan.”
Kata-kata itu bagai petir yang menyambar. Tuah terdiam. Dia tidak mampu bersuara, tidak mampu menjawab sindiran puteri. Rombongan pulang dalam kecewa.
Sepanjang perjalanan, kata-kata Puteri Gunung Ledang masih terngiang:
“Engkau, Hang Tuah... setia membabi buta. Engkau menutup mata pada kezaliman yang engkau sendiri tahu. Engkau seorang pelaut, namun daratan telah meragut semangatmu. Pulanglah kepada laut... kerana hanya laut yang setia padamu.”
Di Sungai Duyong, malam itu bulan mengambang penuh. Ombak kecil menyapu tebing, angin berdesir seperti suara halus menyeru. Tuah berdiri sendirian, keris Taming Sari tergenggam erat di tangannya. Air mata jatuh bercampur dengan embun malam.
Dia teringat sahabat-sahabat lama — Jebat, Kasturi, Lekir, Lekiu. Sumpah setia mereka. Dan dia teringat wajah Sultan, yang kini berubah menjadi zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Tuah mengangkat keris Taming Sari tinggi ke langit. Sinar bulan memantul pada bilahnya, memancar ke permukaan air. Suaranya bergetar, namun lantang:
“Wahai semangat leluhur, wahai laut yang sentiasa setia... ku serahkan Taming Sari ini ke dalam pelukanmu. Sesungguhnya tiada manusia di darat ini yang layak menjaganya. Jika suatu hari nanti keris ini muncul kembali... percayalah, Taming Sari telah memilih tuannya. Dan di saat itu, aku akan menyatakan taat setia sekali lagi, bukan pada raja... tetapi pada tanah air yang sebenar-benarnya.”
Dengan hela nafas panjang, Tuah melepaskan Taming Sari.
Plung!
Air sungai memercik, memeluk keris itu ke dalam arusnya. Sekilas, seolah-olah cahaya bulan menyelubungi bilah keris yang tenggelam perlahan. Arus sungai berputar aneh, seakan memberi hormat sebelum kembali tenang.
Tuah terduduk di tebing, menutup wajahnya. Tangisannya pecah — tangisan seorang pahlawan yang kehilangan arah, yang sedar daratan telah meragut jiwanya.
Lalu, dengan langkah perlahan, Hang Tuah berjalan masuk ke dalam kabus malam. Bayangannya hilang bersama desiran angin. Hanya sungai yang menjadi saksi, bahawa seorang pahlawan agung telah menyerahkan segala-galanya.
Di laut lepas, jauh dari Sungai Duyong, kelihatan sebuah kapal besar dengan layar hitam. Di atasnya berdiri seorang lelaki berjubah gelap. Dia tersenyum, seakan mengetahui apa yang baru terjadi.
“Tuah...” bisik Jebat. “Engkau akhirnya kembali kepada laut.”

Comments

Popular posts from this blog

Movie BANGUNAN by Khir Rahman??? macam bodoh je~

Filem Sheriff.... Twist sana... Twist sini... Jomlah Makan Twister

Brand's InnerSHINE Prune Essence with Camu Camu