OUTRO : DARI LAUT PULANG KE LAUT, HANYA HATI YANG SUCI DAPAT MENJINAKKAN LAUT YANG BERGELORA

Angin di muara Sungai Perak bertiup semakin kencang. Langit yang tadi cerah tiba-tiba bertukar gelap, awan hitam menggulung seolah menutup matahari. Kapal besar yang membawa Raja Muzaffar Shah berhenti di tengah arus, tidak bergerak walau layar dipacu atau dayung didayung.
“Tuanku, ini alamat! Bumi ini ada penunggunya!” seru seorang tua bangsawan, wajahnya pucat ketakutan.
Raja Muzaffar Shah berdiri tegak, lalu dengan tenang menanggalkan mahkota emas dari kepalanya.
“Jika benar bumi ini sudah ditakdirkan untukku, maka biarlah rakyat menjadi mahkotaku.”
Mahkota itu dilemparkan ke laut, disusuli doa syahdu.
Namun belum sempat baginda menarik nafas lega, ribut tiba-tiba mengganas!
Ombak memukul sisi kapal, angin mengaum, layar koyak rabak, dan Raja Muzaffar sendiri dihumban ke laut!
“Tuankuuuuu!!!” jerit seluruh anak kapal, masing-masing panik, ada yang hampir terjun untuk menyelamatkan.
Tiba-tiba… selepas beberapa detik cemas, ribut berhenti serta-merta. Laut yang tadi menggila jadi hening. Kabus tebal turun perlahan-lahan, menyelubungi kapal.
Dari permukaan air, Raja Muzaffar muncul semula, tercungap-cungap, namun masih gagah. Tetapi, tidak jauh daripadanya, pusaran air terbentuk—besar dan menelan cahaya kabus di sekeliling.
“Tuanku! Jauhi pusaran itu!” teriak pembesar.
Tetapi Raja Muzaffar terpegun. Dari pusaran itu, sebatang senjata muncul perlahan, berkilauan di celah kabus. Seakan suara ghaib memanggilnya.

Di atas kapal itu ada pembesar istana yang tua, sudah lama berkhidmat beliau menoleh ke arah pusaran air tersebut dengan pandangan yang takjub, rasa tidak percaya... Rasa kali terakhir beliau melihat senjata itu sewaktu dia mula - mula berkhidmat di istana sebelum beliau menjadi pembesar lagi. Tidak semena mena beliau menjerit:
“Tuanku!!! Taming Sari!!!”.

Dengan keberanian seorang raja, Muzaffar menyelam ke hadapan, meraih keris itu. Sekelip mata, pusaran lenyap, laut kembali tenang. Baginda ditarik naik ke atas kapal. Saat keris Taming Sari dikeluarkan dari sarungnya, cahaya emas memancar, dan seluruh anak kapal menunduk sambil bertempik:
“Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!”
Penasihat agama yang tua maju ke hadapan, wajahnya penuh takjub.
“Tuanku… Taming Sari telah memilih tuanku. Inilah tanda tuanku diakui pemerintah bumi asing ini.”
Namun sebelum sempat habis bicara, tubuhnya menggigil hebat. Matanya terbeliak, dan dia jatuh terduduk, jari telunjuknya menggeletar ke arah hujung kapal.
“Tuanku… Tuanku… Jebat… dan Tuah… mereka… datang… merafak sembah…”
Seluruh isi kapal menoleh. Jeritan ketakutan bergema

Di hujung geladak, kabus terbelah. Kelihatan sebuah kapal lain, terapung tanpa suara, berlayar di atas air tanpa dayung—kapal hantu yang sering menjadi buah mulut rakyat Melaka.
Dan di atasnya, dua kelibat berdiri gagah.
Seorang berpakaian pahlawan putih, berkeris emas di pinggang—Hang Tuah.
Seorang lagi berjubah hitam, menggenggam sebilah pedang perak—Hang Jebat.
Kedua-duanya menunduk, memberi sembah penuh wibawa kepada Raja Muzaffar Shah.
Kapal nyata dan kapal ghaib bertemu di muara yang keramat. Dan sejak hari itu, bumi Perak menerima takdirnya—lahir sebuah kesultanan, dipayungi bukan sahaja darah Melaka, tetapi juga roh pahlawan yang tidak pernah mati cintanya pada tanah air.

Tahun 2025, Kuala Kurau, Perak

Bulan purnama bergantung tinggi di langit. Laut Kuala Kurau tenang, hanya bunyi riak kecil memukul badan bot kayu yang sederhana. Raja Rayyan, kanak-kanak berusia 10 tahun, duduk memeluk lutut sambil matanya bersinar ingin tahu.
“Ayah,” tanyanya sambil menoleh kepada ayahnya, Raja Khairul, “betul ke Jebat tu pengkhianat? Tak patutlah Tuah bunuh adik dia sendiri...”
Raja Khairul termenung sejenak, seolah mencari perkataan yang tepat. “Kalau ayah kata cerita itu... tak sepenuhnya betul, macam mana?”
Wajah Raja Rayyan berkedut, bingung dengan jawapan ayahnya. “Tapi tu kan cerita yang kita tengok malam tadi, ayah. Lagi satu... kalau nama kita ada ‘Raja’ di depan, maksudnya kita ni keturunan Sultan Muzaffar Shah kan? Sultan pertama Perak?”
Raja Khairul menghela nafas panjang, dadanya sedikit bergetar. “Sudahlah, Rayyan. Kita ni raja pada nama saja. Jangan difikirkan sangat. Jom, malam ni kita bermalam di laut. Esok pagi, kita balik.”
Anak kecil itu tidak membantah. Baginya, pengalaman tidur di laut lebih seronok dari apa-apa cerita pun. Namun jauh di sudut hati, dia masih dihantui pertanyaan yang tiada jawapan.
Malam semakin larut. Langit terbuka luas, bulan purnama memantulkan cahaya perak ke permukaan laut. Angin bertiup lembut, seakan menidurkan kedua beranak itu.
Namun, tiba-tiba...
Angin bertukar kencang. Bot kecil mereka terhuyung-hayang, dilambung ombak yang datang entah dari mana. Raja Khairul segera memeluk erat anaknya. “Rayyan, jangan lepaskan ayah!”
“Ayahhh! Apa jadi ni?!” jerit Rayyan, matanya luas ketakutan.
Petir menyambar langit. Dari kabus tebal yang tiba-tiba muncul, kelihatan sebuah bayangan kapal raksasa. Hitam, berlumut, dan berbau garam tua. Lampu-lampu minyaknya menyala samar, seolah-olah menembusi masa silam.
Raja Rayyan menjerit spontan, “Ayahhh! Kapal han—”
Belum sempat habis kata-kata, mulutnya ditutup pantas oleh Raja Khairul. Wajah ayahnya pucat, pandangannya kaku. Dia tahu benar apa yang sedang muncul di hadapan mereka.
Kapal itu berhenti betul-betul di sisi bot kecil mereka. Gelombang yang dibawanya hampir menenggelamkan. Di dek kapal itu, dua sosok berdiri tegak.
Seorang berpakaian serba putih, lengkap bersampin dan tanjak, keris emas menyala di pinggangnya. Wajahnya tenang, matanya redup namun tajam.
Seorang lagi berjubah hitam, tubuhnya tegap, pedang perak berkilauan di tangan, sorot matanya seperti bara api yang menyala dalam gelap.
Seluruh tubuh Raja Khairul menggigil. Tangan kanannya terangkat perlahan, bibirnya tidak berhenti melafazkan ayat suci al-Quran. Dia tidak berani menentang pandangan mereka, kerana dia tahu... itu bukan manusia biasa.
Raja Rayyan pula terpaku. Hatinya berdebar hebat, tapi ada rasa pelik—bukan semata-mata takut, tetapi juga kagum. “Ayah... siapa mereka?” bisiknya kecil.
Kapal hantu itu bergoyang perlahan, seperti mengangguk. Lalu kedengaran sayup-sayup suara yang tidak tahu dari mana asalnya, seolah-olah bergema dari dasar laut dan langit serentak:
“Kami tidak pernah hilang. Kami menjaga tanah ini selama-lamanya...”
Raja Khairul menutup matanya rapat, peluh dingin membasahi wajah. Namun Rayyan menatap terus, seolah merasakan sesuatu yang luar biasa.
“Anakku,” suara Raja Khairul tersekat, bergetar, “itulah mereka... Hang Tuah dan Hang Jebat. Roh mereka masih mengawasi tanah ini.”
Rayyan tersentak. “Maksud ayah... Tuah tak bunuh Jebat? Mereka masih bersama?”
Raja Khairul tidak menjawab. Namun sosok putih dan sosok hitam di atas kapal hantu itu tiba-tiba menunduk serentak, seakan memberi sembah penghormatan terakhir sebelum kapal itu perlahan-lahan hilang ditelan kabus.
Angin ribut reda. Laut kembali tenang.
Rayyan menggenggam tangan ayahnya dengan kuat, lalu melompat kecil sambil matanya bersinar kegembiraan. “Dah tahu dah! Tuah takkan bunuh Jebat! Yay, yay! Mereka masih bersama, ayah! Mereka masih ada!”
Raja Khairul hanya memandang laut yang kosong, jiwanya digoncang hebat. Dia tahu, malam ini bukan sekadar kebetulan.
Malam ini, sejarah membuka pintu rahsianya.
Dan legasi Tuah dan Jebat... masih hidup, menunggu giliran untuk bangkit kembali.


Comments

Popular posts from this blog

Movie BANGUNAN by Khir Rahman??? macam bodoh je~

Filem Sheriff.... Twist sana... Twist sini... Jomlah Makan Twister

Brand's InnerSHINE Prune Essence with Camu Camu