POV RAFIQ: ANTARA AMANAH DAN RESAH
Aku meraup wajah berkali-kali. Fail di atas meja ni rasa macam nak tembus aku pandang. Syarikat hartanah baru aku, Rafiq Estates, nampak macam hidup segan mati tak mahu. Projek dah cantik, tapi pemasaran? Kosong. Tak ada siapa tahu kewujudan kami.
"Tuan Syed, saya pening. Saya perlukan sesuatu yang drastik. Video promo yang ada sekarang ni semua hambar. Tak ada soul," adu aku pada Tuan Syed Al Kauf, orang lama yang dah aku anggap macam mentor sendiri.
Tuan Syed hanya tersenyum tenang. "Sabar, Rafiq. Rezeki tak pernah salah alamat. Eh, hujung minggu ni datang rumah Uncle. Ada majlis merisik anak Uncle, si Diana tu. Datanglah, kita sembang santai."
Aku sekadar mengangguk. Tak sangka, kehadiran aku di majlis itu bakal menjadi titik mula kepada kekacauan jiwa yang paling dahsyat dalam hidup aku. Di celah-celah kemeriahan majlis, aku nampak dia. Ratna. Dia nampak sangat fokus, sangat profesional menguruskan kamera dan krew. Ada satu aura pada dia yang buatkan aku tak boleh berhenti memandang. Tapi waktu tu, aku nafikan. "Mungkin sekadar crush biasa," fikir aku.
Beberapa minggu kemudian, aku kembali ke pejabat Tuan Syed.
"Uncle, saya dah buat keputusan. Saya nak minta bantuan Ratna untuk projek baru saya," kata aku tegas.
Tuan Syed ketawa kecil, bahu aku ditepuknya mesra. "Kau ni Rafiq... kau betul suka kerja Ratna ke, atau kau sebenarnya dah mula suka kat Ratna ni?"
Kami berdua ketawa besar. Aku anggap itu sekadar seloroh orang tua. Aku? Rafiq Ismail? Seorang devoted husband, seorang bapa yang penyayang, dan ketua keluarga yang sentiasa menjaga batas. Tak mungkin aku akan hanyut. Selama ni, ramai saja wanita yang mengejar—isteri orang ada, anak dara jangan cakaplah. Tapi semuanya aku tepis macam angin lalu. Hati aku kebal.
Tapi kali ini... irama jantung aku berbeza. Setiap kali aku duduk berbincang dengan Ratna, jantung aku mengalunkan rentak yang sukar aku mengertikan.
Bekerja dengan Ratna asalnya adalah alasan untuk aku mengesahkan perasaan ni. Aku fikir, kalau aku selalu depan dia, mungkin perasaan ni akan hilang sebab aku akan nampak "cacat cela" dia. Rupanya aku silap besar. Bila berada lebih dekat, hati aku mula menjerit. Bila lebih banyak masa dihabiskan bersama, jiwa aku mula memberontak.
Ratna bukan sekadar cantik; dia bijak. Dia tahu macam mana nak hidupkan jenama aku. Setiap sudut kamera yang dia pilih, setiap arahan yang dia beri, menampakkan betapa dia sangat mencintai kerjanya. Dan tanpa sedar, aku mula mencintai cara dia melihat dunia.
Hari pelancaran tiba. Video promosi Rafiq Estates meletup! Strategi Ratna berjaya meletakkan syarikat aku sebagai video paling banyak ditonton sepanjang bulan ini. Nama aku mula meniti di bibir pelabur.
Ratna berjalan ke arah aku dengan senyuman yang paling girang pernah aku lihat. "Tahniah En. Rafiq. Kita berjaya!" katanya. Dia mengemas barangnya, kemudian berpaling sebelum berlalu. "See you tonight," bisiknya sambil tersenyum manis.
Senyuman itu... cukup untuk memberikan keresahan yang luar biasa dalam diri aku. Senyuman yang buatkan aku rasa bersalah, tapi dalam masa yang sama, buatkan aku rasa hidup semula.
Malam itu, di bawah keremangan lampu Danga Bay, aku tahu aku tak boleh simpan lagi. Aku tahu ini "kegilaan", aku tahu status aku adalah tembok yang paling tinggi. Tapi melihat dia berdiri di depan aku, aku nekad.
"I think I like you," kata aku, memecah keheningan malam.
Aku nampak dia terkedu. Aku nampak kekeliruan dalam matanya. Dia sebut pasal status aku sebagai suami orang. Aku tahu, Ratna. Aku sangat tahu. Tapi jika kau sanggup melalui kegilaan ini bersama aku, aku dengan gembira akan pimpin tangan kau.
Aku memandang tepat ke matanya. Di saat itu, aku bukan lagi Rafiq yang hebat di mata Tuan Syed. Aku hanyalah seorang lelaki yang sedang menawarkan separuh daripada dunianya yang retak kepada wanita yang berjaya mencuri jiwanya.
CINTA INI MUNGKIN SATU KESALAHAN DI MATA DUNIA, TAPI DI MATA HATI AKU, IA ADALAH SATU-SATUNYA KEBENARAN YANG TINGGAL - RAFIQ
No comments:
Post a Comment