YANG DI JAUHI, YANG TIDAK DI JANGKAKAN... ITU YANG MENGUJI
Sejak majlis merisik D yang gilang-gemilang itu, bayangan Rafiq tidak pernah sekali pun meninggalkan kotak fikiran Ratna. Namun, dalam kemanisan senyuman lelaki itu, ada duri yang mula menusuk.
"Ratna, aku nak kau tanya betul-betul siapa Rafiq tu sebenarnya," bisik D satu petang ketika mereka sedang mengemas stok kaftan. Wajah D nampak serius, tiada lagi nada gurauan. "Aku dengar cerita... status Rafiq tu bukan single man. Dia suami orang. Aku pun pelik kenapa ayah aku perkenalkan korang berdua."
Zappp! Jantung Ratna rasa seperti direntap. Hatinya kecewa yang amat sangat. "Jika aku tahu..." rintih Ratna dalam hati. Dia baru sahaja hendak membuka pintu hatinya yang sudah lama berkarat, tiba-tiba dia dihidangkan dengan realiti yang pahit. Ratna bertekad, makin takdir cuba mendekat, makin kuat dia akan menjauh. Dia tidak mahu menjadi pemusnah kebahagiaan sesiapa.
Namun, takdir itu memang pelik. Semakin kita lari, semakin dia mengejar.
Suatu petang, ketika Ratna sedang menyemak jadual penggambaran di kafe D, kelibat Rafiq muncul di pintu masuk. D kebetulan tiada di situ kerana ada urusan keluarga.
"Hai Ratna... kenapa macam lama sangat kita tak jumpa? Awak dah tak cover program empayar Al Kauf ke?" tegur Rafiq sambil tersenyum.
Lesung pipitnya yang dalam dan kulit sawo matang itu memang menampakkan dia sebagai lelaki Melayu yang sempurna. Ratna terpaku sejenak. "Manalah tak semua perempuan jatuh hati kalau dah senyum sebegitu," bisik hati kecil Ratna. Dia cuba berlagak tenang, membetulkan kedudukan cermin matanya walaupun tangannya sedikit menggigil.
"Saya sibuk sikit Encik Rafiq. Banyak backlog kerja nak kena settle," jawab Ratna pendek, matanya tetap pada skrin laptop.
Rafiq tidak berganjak. Dia menarik kerusi di hadapan Ratna. "Sebenarnya, saya nak minta tolong awak boleh? Saya nak launching new business. Tuan Syed cakap you have the best eyes and hands dalam industri ni. Jadi saya percaya cakap dia. Sudi tak ambil job ni?"
Ratna seolah-olah 'hang'. Hatinya berdebar, emosinya bercelaru. Matanya terpana melihat keikhlasan di wajah Rafiq. Belum sempat dia menjawab, Tuan Syed Al Kauf yang kebetulan lalu di situ menepuk bahu Ratna.
"Ambil sajalah Ratna... Peluang besar tu. Uncle rasa sekarang masanya awak berhenti kerja dengan TikTok dan buka syarikat videography dan photography sendiri. Mungkin di bawah payung Empayar Al Kauf. Senang Uncle nak bagi projek lepas ni," celah Tuan Syed dengan penuh harapan.
Ratna tidak mampu menolak. Akhirnya, sepanjang bulan itu, dia dan Rafiq banyak menghabiskan masa bersama. Dari sesi perbincangan konsep di kafe hingga ke tinjauan lokasi penggambaran, kelibat mereka sering kelihatan berdua. Ratna mula menipu dirinya sendiri. Dia cuba meyakinkan hati bahawa perasaannya ini hanyalah sekadar crush biasa dan dia mula berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Ratna mula selesa. Dia mula ketawa dengan jenaka Rafiq, mula berkongsi idea dengan penuh semangat, sambil di sudut hatinya dia sering mengingatkan diri sendiri: "Ini hanya kerja. Rakan sekerja sahaja. Titik."
Sehinggalah pada suatu petang, ketika mereka sedang meninjau cahaya matahari terbenam untuk sesi pelancaran, Rafiq berhenti melangkah. Dia memandang tepat ke dalam mata Ratna.
"Ratna... I think I like you."
Dunia seolah-olah berhenti berputar. Ratna terkedu. Nafasnya seakan tersekat di kerongkong. "Apa ni? Jadi... awak pun rasa apa yang saya rasa selama ni?" jerit hati Ratna, namun lidahnya kelu.
Ratna memandang Rafiq dengan pandangan yang penuh kekeliruan. Dia teringat amaran D. Dia teringat status Rafiq yang dikatakan suami orang. Tapi dalam masa yang sama, pengakuan Rafiq itu adalah apa yang selama ini dia dambakan di sebalik tembok trauma yang dia bina.
Ratna buntu. Dia keliru dengan situasi ini. Bagaimana mungkin seorang lelaki yang sempurna di matanya, yang diakui hebat oleh Tuan Syed, datang membawa pengakuan cinta di saat Ratna sedang cuba memadam rasa itu?
Yang ingin dijauhkan, makin mengejar. Yang cuba dielakkan, itulah yang dihidangkan di depan mata. Ratna berdiri di tepi pantai Danga Bay, membiarkan angin laut menyapa wajahnya yang kini basah dengan air mata kekeliruan. Adakah ini satu lagi ujian, atau adakah ini kebahagiaan yang terselubung dalam rahsia?
ADAKAH AKU SEDANG MENUJU KE ARAH PELANGI, ATAU AKU SEDANG BERJALAN MASUK KE DALAM RIBUT YANG BAKAL MEMUSNAHKAN SEGALANYA? - RATNA
No comments:
Post a Comment