TAJUK: PERTEMUAN YANG TAK TERDUGA... NAMUN KAU KU LIHAT GARANG SENTIASA
POV IKMAL
Hari ini hari pertama aku menemani Cik Elina Al-Attas. Sebagai pengawal peribadi, imej itu segalanya. Aku berdiri di depan cermin, membelek otot lengan yang nampak pejal di sebalik kemeja. "Yahhh... mestilah ada muscle," bisik aku sendiri. "Yahhh... mestilah ada style." Walaupun rambut aku ni gaya Takuya Kimura era 90-an, come on lah, aku rasa akulah lelaki paling stylo dalam daerah ni. Handsome ada, manis ada, sasa jangan cakaplah. Dengan suit hitam ni, kalau Mamu Sharnaaz Ahmad tengok, kompen dia mengaku aku ni saudara mara dia.
Aku melangkah gagah menuju ke arah kereta, menantikan buah hati kesayangan Tan Sri Azim. Tengah aku syok membetulkan rambut pada pantulan cermin tingkap kereta, tiba-tiba satu suara menegur kasar.
"Kenapa lambat?"
Aku tersentak. Rupanya Mak Nab, ketua bibik rumah ni. Amboi, suka-suka je nak marah aku. Padahal baru malam tadi berkenalan. Nasib baik dia perempuan, kalau lelaki... haaa, memang kena zerrrr dengan aku tadi.
"Eh Mak Nab! Cantik berseri-seri macam bidadari. Saya ingatkan model mana tadi. Kenapa tu Mak Nab? Kan Cik Elina pergi kerja pukul 8.30 pagi? Sekarang baru jam 8.00 pagi. Ni haaa, kalau tak percaya..." Aku suakan jam tangan aku tepat ke muka Mak Nab.
Belum sempat Mak Nab membalas, satu suara garau mencelah dari arah belakang.
"Semua staf diwajibkan solat Subuh berjemaah. Kemudian ada sedikit tazkirah dan sesi bersama staf. Selepas itu, semua kena sarapan sama-sama. Tak kisahlah kau bodyguard ke, chef ke, tukang kebun ke... hari-hari kena macam tu. Faham?"
Itu mamat berkacamata semalam. Rizqi. Dia pandang aku macam aku ni budak sekolah yang lambat masuk kelas. "Ni air lemon epal juice untuk Cik Elina. Dan ni sarapan untuk kau. Tak payah nak makan makanan tepi jalan tu sangat. Rehat, makan petang... semuanya makan kat hotel saja. Hmmm, itu saja."
Halah, halah mamat sekor ni. Acah-acah lebih sia! Aku pakai suit macam ni memanglah aku tak makan tepi jalan... aku makan atas jalan! Hahaha! "Haaa... iyalah, faham," jawab aku acuh tak acuh sambil mengambil bekalan tu. Aku biarkan dia berlalu pergi, sampailah...
"MAK TERKEJUTTTTTT!!!!" Aku menjerit sekuat hati bila terasa ada orang berdiri rapat di belakang aku.
"Apa masalah kau ni? Ishhh, menjerit macam perempuan. Nyah ke?"
Cik Elina. Betul, dia memang lawa. Putih, mata bulat, bibir merah delima. Tapi kalau dah terjengil mata macam tu, siapa yang tak luruh jantung? Pagi itu bermula dengan kedinginan. Elina langsung tak pandang aku. Dia masuk ke dalam kereta dengan muka ketat. Aku pun apa lagi? Aku buat kepala aku sendiri juga. Kalau bos nak somber, aku pun boleh jadi batu.
Sepanjang jalan, suasana dalam kereta sunyi sepi. Tiba-tiba, Elina bersuara. Dia nak pergi ke Kuala Lumpur (KL), tapi aku teringat pesanan Tan Sri Azim pagi tadi—Cik Elina tidak dibenarkan keluar kawasan tanpa izin khas. Aku tersepit. Nak ikut cakap Tan Sri ke, atau ikut cakap bos depan mata?
Elina mula menangis. Bukan tangisan biasa, tapi tangisan yang buat aku rasa bersalah gila. Tanpa banyak soal, aku nekad. Aku pusing stereng menuju ke KL. Elina diam, cuma esakannya saja kedengaran. Bila sampai di satu kawasan, aku berhentikan kereta secara mengejut.
"Kenapa berhenti?!" Elina melenting, matanya sembab.
Aku matikan enjin, cabut kunci dan hulurkan pada dia. "Sekarang dah sampai Pantai Dalam. Ni kunci kereta, kau ambil. Pergilah mana kau nak pergi, janji balik nanti kau ambil aku kat sini." Aku terus melangkah keluar, tak toleh belakang.
"Ikmal! Awak nak pergi mana?" Elina mengejar aku. Entah macam mana, dia tersadung kainnya sendiri. Nasib baik tak tersungkur.
Aku pusing belakang, muka aku tetap dingin. "Aku makbulkan doa kau nak datang KL kan? Sekarang dah sampai... apa masalah kau nak ikut aku pula?"
"Aku... aku mana tahu jalan KL! Bodoh!" jawab Elina, suaranya pecah antara marah dan takut.
Aku ketawa besar. "Ehhh, tadi nak sangat datang KL. Tak tahu jalan rupanyaaaaa! Hahahahahaha!"
PUKKKK!
Kepala aku kena hempuk. Bukan dengan tangan, tapi dengan sudip!
"Dari jauh mak dah dengar suara kau! Kata dapat job kat Melaka, apasal ada kat sini? Kau lari eh Ikmal? Mak tahu sangat perangai kau ni!"
Mak aku. Di depan kedai nasi ayam bapak aku. Aku menggosok kepala yang pedih. "Mak... mak... sebelum mak bebel, Ikmal nak bagi tahu dulu. Ni bos baru Ikmal, Cik Elina. Cik Elina, ni mak saya. Okay, done. Saya nak pergi makan... pandai-pandailah Cik Elina ya."
Aku tinggalkan Elina yang terpinga-pinga dan terus masuk ke kedai. Aku minta nasi tiga pinggan dengan bahagian ayam yang paling terbaik. Elina masuk perlahan-lahan, duduk di bangku kayu tu dengan muka keliru.
"Kenapa tak makan?" tanya aku tegas bila tengok dia cuma pandang pinggan. Dia diam. Agaknya betul cakap Rizqi, orang kaya ni cuma makan kat hotel. Aku capai sudu, aku ambil nasi dan ayam, aku suakan ke mulut dia.
"Makan." Dia geleng. "Makanlah!" Aku paksa sikit. Akhirnya, dia buka mulut. Kunyahan pertama dia nampak ragu-ragu, tapi lepas tu dia terus ambil sudu sendiri dan makan dengan selera.
"Kau nak aku suap sampai habis nasi ni ke?" sakat aku lagi. Elina tak jawab, dia sibuk menyuap. Dalam diam, aku perhatikan dia. Nampak gaya dia suka sangat masakan bapak aku. Selepas kenyang, aku bawa dia jalan-jalan sekejap. Aku belikan dia kain damascus yang dia suka sangat belek tu, kemudian aku belikan dessert kegemaran dia. Kami singgah solat di Putrajaya sebelum bertolak balik.
Sepanjang jalan pulang, aku perhatikan dari cermin pandang belakang. Elina tersenyum-senyum sorang diri.
"Nanti kita pergi lagi ya? Makan nasi ayam ayah awak," katanya perlahan, tapi cukup untuk aku dengar.
"Iyalah," jawab aku pendek. Sepanjang jalan, dia sibuk berbual di telefon. "Besfren" dia agaknya. Dia bercerita punya gembira tentang makan tepi jalan dan kain yang aku belikan tadi. Aku tersenyum sendiri tanpa sedar.
Rupanya, anak jutawan ini tidak pernah dibenarkan berjalan di KL sendirian. Patutlah dia rasa dunia ni macam sangkar emas. Kenapa eh Tan Sri dengan Umi dia tak pernah biarkan dia jalan sorang-sorang? Rahsia apa yang mereka sorokkan sampai Elina rasa begitu terkurung?
No comments:
Post a Comment