Kisah Nasihat Orang Tua Tua :-
Hari ni, rasa macam nak menulis lain sikit daripada hari-hari biasa. Angin dia lain macam. Sebab apa tahu? Sebab hari ni hati rasa nak patah balik ke belakang, jauh sangat... Kita kayuh balik masa ke tahun 2003, betul-betul di Tapak Perkhemahan Intan Suraya.
Zaman tu, tahun pertama bergelar penuntut di Politeknik Ungku Omar. Sebuah menara ilmu yang megah terbina di Lembah Kinta, Ipoh Bandaraya, Perak Darul Ridzuan. Ha, siap pakej lagu tema lagi aku bagi untuk korang semua!
Kalau tak silap, perkhemahan tu berlangsung selama 3 hari 2 malam. Biasanya, kalau sebut pasal *kem*, mesti korang *expect* aku nak cerita bab mistik dan seram, kan? Tapi tak. Bukan itu yang melekat di hati sampai sekarang.
Cerita ni sebenarnya adalah pasal satu perkongsian daripada Ketua Renjer kat situ. Nama beliau aku dah tak ingat—yalah, benda dah berlaku 23 tahun yang lepas, kan?
Kisah ni bermula pada waktu pagi, selepas selesai sesi senam sihat. Hari tu hari terakhir aku dan kawan-kawan di Kem Intan Suraya. Sebelum balik, Pakcik Ketua Renjer ni pun kumpulkan kami semua untuk sampaikan amanat terakhir buat bekal kami meneruskan kehidupan.
"Siapa yang masuk hutan semalam dapat luka-luka, angkat tangan!" tanya Ketua Renjer dengan suara tegas.
Ramai yang angkat tangan.
Dia tanya lagi, "Siapa yang bajunya kotor berlumut sebab masuk hutan semalam?"
Masih ramai yang mengaku dan angkat tangan.
Akhir sekali, soalan cepumas keluar:
"Siapa yang langsung tak luka, langsung tak kotor... Sila angkat tangan."
Well... Dengan berlagaknya, aku pun angkat tangan tinggi-tinggi. Bangga tau! Dalam hati fikir, tak sia-sia pengalaman masuk hutan dan *camping* dari umur 10 tahun sampai 17 tahun. Masuk hutan bersih, keluar hutan pun maintain bersih!
Tapi, korang tahu apa pakcik tu balas?
"Orang-orang yang bersih nilah sebenarnya yang paling rugi. Sebab korang tak ada kenangan langsung pasal tempat ni. Intan Suraya takkan *special* kat hati korang sebab korang keluar tanpa ada kesan langsung daripada tempat ni."
Dush! Sebiji pakcik tu bagi. Aku yang tengah tersengih tadi terus terkedu. Eh pakcik ni, patutnya pujilah kita sebab pandai jaga diri, ni dah macam kena penampar sulung pula! Gitu dia bagi *plot twist*.
Lepas tu, Pakcik Renjer tu makin ligat. Kali ni dengan bangganya dia kata dia boleh teka kami ni anak nombor berapa berdasarkan pemerhatian dia selama 3 hari tu. Hebatnya, semua yang dia teka, betul! Dia kata, pengalaman 20 tahun jadi renjer dan fasi kem buatkan dia dah masak sangat dengan psikologi dan perangai manusia.
Ok, *fine*... Kita tengok dia boleh pergi sejauh mana.
Aku pun angkat tangan. "Encik, kalau hebat sangat, saya anak nombor berapa?" tanya aku sambil tersengih memandang tepat ke wajah dia.
Pakcik Renjer balas pandangan mata aku. Lama. Aku tak beralih pandang, mata bertentang mata, senyuman kat bibir ni langsung tak pudar. Sikit pun tak rasa seram atau takut. Saja nak test, sebab aku tahu kalau aku tersalah langkah, dia mesti dapat teka dengan tepat.
"Hmmmm... Awak ni... Susah sikit saya nak teka," kata pakcik tu, mula ragu-ragu.
Kawan-kawan aku apa lagi, semua dah bersorak riuh! Akhirnya Pakcik Renjer bertemu dengan *ultimate enemy* dia! Aku masih tersengih, memandang tepat ke anak mata dia. "Encik boleh teka semua orang dengan tepat... Takkan saya seorang pun tak boleh?"
Makin kuat sorakan kawan-kawan. Sengaja bakar line!
"Baiklah, saya teka... Walaupun agak kabur, saya rasa awak anak sulung!"
Aku terus hilangkan sengih. Wajah bertukar serius. "Kenapa tuan kata saya anak sulung?"
"Sebab dalam masa 3 hari ni, saya tengok awak yang *lead* kumpulan awak. Awak tak takut dengan saya, awak berani buat keputusan. Semua ni ciri-ciri pemimpin, dan selalunya anak sulung yang ada sifat macam ni. Cuma... Kadang-kadang saya ada nampak sisi manja awak sikit. Itu yang buat saya konfius. Tapi anak sulung pun ada yang manja, kan?"
Aku matikan terus senyuman. Wajah sengaja dipamerkan dengan riak *'defeated'*—kononnya mengalah dan tekaan dia tu betul.
Pakcik Renjer dah mula tersenyum menang. "Betul kan jawapan saya? Saya mana pernah salah."
Aku dengan selamba senyum sinis dan berkata, "Betullah encik tak pernah salah sebelum ni... Tapi bukan untuk kali ni. Sebab... Saya sebenarnya anak bongsu."
Ha! Ambek kau! Aku tersengih puas sebab berjaya buatkan Pakcik Renjer salah teka untuk pertama kalinya dalam tempoh 3 hari tu. Riuh-rendah satu tapak perhimpunan tu kawan-kawan bersorak.
Akhirnya pakcik tu terpaksa akur sambil tersenyum kambing. "Ah, patutlah... Saya nampak sisi manja awak tu, cuma sisi tu tak keluar sangat. Yang menonjol lebih kepada sifat memimpin. Sebenarnya wujud anak bongsu yang absorb semua perangai kakak dan abang atas dia... Sampai hilang perangai sendiri. Ini di panggil The art of copycat"
Ehhhhh, gitu eh pakcik! Macam tu je dia kata aku ade Art Of Copycat.
Lepas daripada usik-mengusik tu, ayat pakcik tu buat aku terfikir dalam-dalam sampai sekarang.
Apa yang boleh buatkan seseorang tu berubah menjadi "bukan diri dia yang sepatutnya"? Contohnya macam aku. Kenapa aku tak jadi macam anak bongsu yang lain—yang manja, yang sentiasa nak bermanja? Kenapa aku lebih selesa menyerap perangai Along dan Angah? Kenapa aku lebih suka memimpin daripada dipimpin?
Sebenarnya, kenapa aku berani angkat tangan dan cabar pakcik renjer tu dengan penuh yakin? Sebab aku tahu, tak ada orang yang akan dapat baca siapa aku yang sebenarnya.
Zaman sekolah dulu, aku bukan jenis yang lembik, jenis yang sikit-sikit nak patah patah, sikit-sikit nak mengadu. Memang tak ada maknanya aku nak merengek sana-sini. Aku selalu bawa hal sendiri, berdikari.
Kalau sekarang aku cakap macam ni, mesti ramai orang tak percaya, kan? Sebab yalah... Sekarang kat media sosial nampak macam tergedik-gedik sana sini, happy go lucky selalu, bile time kerje menyendeng sana sini, tersenyum sengeh, memang nampak sangatlah bongsunya... Tapi masih je ade orang tak dapat teka aku anak nombor berapa.... Tapi tulah... Manusia ni kan penuh rahsia.
Kata Pakcik Renjer tu lagi, perangai seseorang akan berubah-ubah mengikut keperluan hidup. Soalannya: Adakah perangai korang hari ni masih sama macam zaman sekolah dulu, atau korang dah berubah?
Kalau tanya aku... *Of course* lah berubah. Banyak sangat berubah.
Time aku sekolah dulu, aku hanya akan bercakap dengan orang yang berada dalam *circle* aku sahaja. Sebab apa? Sebab aku ada masalah kepercayaan (*trust issue*) yang sangat berat dengan orang luar circle . Kalau korang pernah baca cerita pasal 'MALIK' yang aku pernah kongsi dulu... Haa, sebab itulah aku lebih suka berkawan dengan buku daripada manusia.
Masa zaman sekolah, aku pernah kena *backstab* dengan orang yang bukan dqlam circle aku. Benda tu sakit, dan parutnya buatkan aku bina tembok yang tinggi dan membuatkan aku judging dengan semua manusia yang ada.
Sekarang ni, adakah tembok tu dah runtuh? *Nope*. Aku masih ada *trust issue*. Aku susah nak percaya orang. Adakah bermaksud aku anggap semua orang jahat? Tak. Cuma aku takkan letak kepercayaan pada sesiapa sehinggalah mereka betul-betul buktikan yang mereka layak dipercayai.
Bila dah masuk alam pekerjaan, *trust issue* ni jadi makin parah. Sampai ke satu tahap, aku rasa aku dah tak mampu nak ada istilah 'kawan baik' dalam kehidupan bekerje... Tambahan pula bila kita anggap orang tu rapat dengan kita tapi dalam yang sama mengutuk kita... Semua orang yang datang, cukup sekadar seorang kenalan. Kasihan, kan? Jangan kasihan... Sebab jika kita tak berbuat begini... Entah berapa banyak lagi invisible pisau ni melekat di belakang kita.
Tapi itulah realiti Universiti Kehidupan yang membentuk aku hari ni.
Pakcik Renjer tu ada pesan satu benda yang aku simpan dalam minda sampai hari ni:
"Kehidupan itu adalah satu sesi pembelajaran. Tapi bezanya dengan sekolah atau universiti ialah... KEHIDUPAN akan beri kita UJIAN dahulu, kemudian barulah kita BELAJAR daripada ujian tersebut."
Tapi tulah, ada satu ujian yang kita selalu hadapi berulang kali, tapi kita tetap tak pernah nak belajar. Contoh mudah: kita tahu sepatutnya kita kena bagi tumpuan masa cikgu mengajar, tapi kita main-main. Lepas tu, bila nak dekat exam, barulah kelam-kabut nak *study last minute*.
Hampir semua orang buat macam tu, kan? Akhirnya, kualiti kehidupan kita takkan pernah meningkat sebab kita asyik gagal belajar daripada kesilapan yang lepas, gagal faham kenapa Allah uji kita benda yang sama.
Padahal, setiap ujian yang Allah berikan dalam kehidupan ni, sentiasa—dan pasti—ada solusinya. Allah takkan sesekali bebankan hamba-Nya kalau hamba-Nya tak mampu.
Berbalik kepada sistem universiti biasa; sebelum exam, kita akan belajar dulu. Kita dah tahu subjek apa nak kena hafal untuk exam nanti. Tapi dalam Universiti Kehidupan... Tahu-tahu je kita dicampak dengan ujian—sama ada berat atau ringan. Tup-tup kita terus rasa stres, konfius, mula menyalahkan takdir, dan mula mempersoalkan, *"Kenapa aku? Kenapa Allah buat aku macam ni?"*
Jawapan Pakcik Renjer mudah sahaja:
"Sebenarnya, korang dah dibekalkan dengan *skill* untuk selesaikan masalah korang pun... Cuma korang je yang tak sedar. Sebab itulah ayat-Nya berbunyi:
**Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.**
Maksudnya apa? Apa jua masalah yang korang hadapi sekarang, yang nampak macam *impossible* pada mata korang, sebenarnya adalah *possible* di sisi Allah."
Jadi, kalau satu hari nanti korang rasa *lost* sangat, rasa macam dah buntu... Tolong jangan pernah tinggal untuk 'Bermesyuarat dengan Allah'. Bangun malam, buat solat Istikharah, buat solat Tahajjud. Nangis dan doalah sepenuh hati, minta Allah tarik tangan kita keluar daripada jalan buntu tu. Jangan pernah berhenti berharap pada-Nya.
Universiti Kehidupan akan sentiasa menjadi tempat untuk kita menimba ilmu, belajar menyelesaikan masalah, belajar mendepani kesusahan, dan yang paling penting:
**Belajar untuk bersangka baik dengan setiap ujian yang datang.**
Kenapa kena bersangka baik? Sebab ujian tu datang daripada Allah Yang Maha Pengasih. Jangan tengok masalah tu dari satu sudut pandangan yang sempit sahaja. Cuba analisa, cuba letakkan diri kita dari sudut pandang yang lain (POV yang berbeza).
Tanya pada diri menggunakan *WH-Questions*:
* Apa yang Allah nak tunjuk sebenarnya?
* Kenapa benda ni kena jadi kat aku?
* Apa yang Allah cuba nak ajar pada hati aku?
Bila kita mula mencari hikmah, insya-Allah, hati kita akan jadi lebih tenang, jiwa jadi lebih lapang, dan urusan kita akan jadi lebih mudah untuk diuruskan. Masa tu, barulah kita akan nampak 'mesej cinta' yang Allah nak sampaikan di sebalik air mata kita.
Sebab tu, kalau ingat balik cerita Pakcik Renjer kat awal-awal tadi pasal tiga kumpulan manusia dalam hutan:
Kumpulan Pertama (Langsung tak luka/tak kotor): Mereka ni kononnya dah puas belajar seluk-beluk hutan (ujian). Mereka tahu jalan pintas, mereka tahu macam mana nak elak masalah. Orang lain guna trek asal, tapi geng ni nampak solusi di tempat lain. Walaupun terpaksa jalan jauh sikit, mereka sanggup sebab mereka tahu itu yang terbaik.
Kumpulan Kedua (Kotor tapi tak luka): Mereka ada sikit pengalaman. Mereka tetap ikut laluan asal, mereka tahu ada bahaya kat depan tapi mereka teruskan juga sebab mereka dah tahu macam mana nak *avoid* bahaya tu berdasarkan pengalaman yang sedikit tadi.
Kumpulan Ketiga (Luka-luka dan kotor): Ini adalah kumpulan yang pertama kali menghadapi ujian hidup. Mereka terpaksa belajar cara nak hadapi ujian tu secara *live*. Terjatuh, tergolek, terpegang duri, dahan patah, tergelincir... semua mereka rasa! Tapi hebatnya, mereka tak patah balik, mereka tetap merangkak menghabiskan ujian tersebut. Dan korang tahu apa yang mahal? Setiap kali mereka jatuh, setiap parut luka tu... Itulah yang akan paling melekat dalam ingatan dan mendewasakan mereka untuk hadapi hari esok.
Jadi kawan-kawan, jangan pernah takut untuk terluka. Jangan pernah takut untuk jatuh tersungkur. Sebab di pengakhiran cerita nanti, Allah takkan pernah kejam untuk seksa hamba-Nya. Allah takkan sengaja nak susahkan hidup kita.
Allah cuma mahu mendidik, mengajar, dan mahu kita buka mata hati luas-luas untuk melihat betapa indahnya hikmah di sebalik sebuah takdir.
Maka dengan itu... Berakhirlah coretan mengenai Kem Intan Suraya yang penuh dengan tamparan nasihat daripada seorang Pakcik Renjer.
Ambillah apa yang baik daripada cerita ni. Yang kurang tu, jadikanlah ia sekadar bacaan santai korang di waktu lapang.
Aku memang suka dengar orang tua-tua bersembang pasal pengalaman hidup mereka. Sebab bagi aku, cerita mereka selalu ada pengajaran luar kotak yang tak ada jual kat kedai buku.
Insya-Allah, kalau ada rezeki, nanti aku ceritakan pula pasal kisah nasihat daripada arwah kawan abah aku. Mana tahu, kot-kot cerita tu boleh korang guna untuk panduan hidup, ataupun sekadar menjadi *comfort story* penenang hati korang, kan?
Semoga perkongsian yang tak seberapa ni bermanfaat untuk semua.
Lots of Love ♥️
C Ya When I C Ya 💜
No comments:
Post a Comment