PROLOG
Melaka, 1526
Bumi Melaka belum kembali tenang.
Lima belas tahun telah berlalu sejak kota itu jatuh ke tangan Portugis, namun bagi mereka yang masih menyimpan setia kepada tanah ini, Melaka tidak pernah benar-benar menjadi milik penjajah.
Selagi ada yang masih berdiri, selagi ada tangan yang masih mampu menghunus senjata, harapan itu belum mati.
Di antara mereka ada Kanda.
Bukan panglima besar yang namanya disebut-sebut orang. Bukan juga hulubalang istana yang akan dicatat sejarah.
Dia cuma seorang anak bangsawan kampung yang memilih untuk berdiri bersama pahlawan-pahlawan lain—kerana baginya, darah dan keturunan tidak membawa apa-apa makna jika tanah sendiri dibiarkan dirampas.
Hari itu, mereka akan bergerak.
Dinda berdiri di hadapannya.
Tiada kata yang mampu keluar daripada bibir perempuan itu. Sejak tadi dia hanya memandang wajah Kanda, seolah-olah sedang menghafal setiap garis yang ada padanya.
Kanda mencapai tangannya.
Dikucupnya tangan itu sebelum dilepaskan perlahan. Kemudian kedua-dua tangannya menyentuh wajah Dinda.
Dia tersenyum.
Tenang.
Terlalu tenang untuk seorang lelaki yang sedang menuju ke medan yang mungkin tidak akan membawanya pulang.
Kanda menunduk lalu mengucup dahi Dinda lama.
“Dinda…”
Air mata yang cuba ditahan akhirnya jatuh.
“Kita berpisah dahulu.”
Dinda menggeleng kecil.
“Kanda ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan.”
Dia berhenti seketika sebelum memandang ke arah kota yang telah terlalu lama berada di tangan orang asing.
“Melaka perlu kita ambil semula.”
Matanya kembali kepada Dinda.
“Ini maruah kita.”
Dinda mahu berkata jangan pergi.
Mahu meminta lelaki itu melupakan Melaka untuk sehari sahaja. Melupakan maruah, perjuangan, tanah dan segala tanggungjawab yang orang lelaki letakkan di atas bahu mereka.
Pilihlah aku.
Untuk sekali ini sahaja, pilihlah aku.
Namun tiada satu pun mampu dilafazkan.
Kerana Dinda tahu, lelaki yang berdiri di hadapannya tidak akan menjadi Kanda yang dicintainya jika dia sanggup berpaling ketika tanahnya memanggil.
“Doakan Kanda.”
Dinda menunduk, menahan tangis.
Kanda mengangkat dagunya perlahan.
“Insya-Allah…”
Senyuman itu muncul lagi.
“Atas izin Allah, kita akan berjumpa lagi, Dinda.”
Kanda berundur selangkah.
Kemudian selangkah lagi.
Dinda masih berdiri di tempat yang sama.
Seakan-akan selagi kakinya tidak bergerak, perpisahan itu belum benar-benar berlaku.
Kanda berpaling.
Beberapa orang pahlawan telah menunggunya. Senjata tersisip di pinggang, bekalan di bahu. Seorang demi seorang mula meninggalkan kampung menuju perjuangan yang tidak seorang pun tahu penghujungnya.
Dinda melihat tubuh Kanda semakin jauh.
Satu langkah.
Dua langkah.
Semakin kecil.
Semakin jauh.
Tangannya menekup mulut, cuba menahan suara yang sejak tadi memberontak mahu keluar.
Dia berdoa.
Ya Allah, lindungilah dia.
Kembalikanlah dia kepadaku.
Walaupun jauh di suatu sudut hatinya, Dinda tahu—
lelaki yang sedang berjalan meninggalkannya itu mungkin tidak akan kembali.
Mungkin itulah kali terakhir dia melihat bahunya.
Kali terakhir dia mendengar suaranya.
Kali terakhir dahinya menerima kucupan lelaki yang dicintainya.
Kanda semakin jauh.
Dan akhirnya sesuatu dalam diri Dinda pecah.
“Kandaaaaaa!”
Jeritannya merentas kampung.
Kanda terhenti.
Namun dia tidak berpaling.
Dinda jatuh terduduk, menangis sambil memandang lelaki itu meneruskan langkah bersama pahlawan-pahlawan yang lain.
Beberapa saat sebelum tubuhnya hilang daripada pandangan, kata-kata terakhir Kanda kembali bermain di fikirannya.
Atas izin Allah, kita akan berjumpa lagi, Dinda.
Di suatu hari yang indah.
No comments:
Post a Comment