Wednesday, 30 September 2026

JANJI YANG TAK TERUNGKAPKAN : BAB 1

BAB 1

Melaka Straits, 2026

Sophia meletakkan sapuan terakhir pada kanvasnya.

Dia menjauhkan sedikit tubuh, memicingkan mata, kemudian memandang lukisan itu dari kiri dan kanan.

Cukup.

Sekurang-kurangnya untuk malam ini.

Di hadapannya, Melaka Straits masih hidup dengan manusia yang datang dan pergi. Cahaya malam memantul di permukaan air, sesekali dipecahkan oleh cruise yang bergerak perlahan.

Sepasang lelaki dan perempuan berjalan melintasinya.

Lelaki itu melambai ke arah cruise. Perempuan di sebelahnya turut melambai, kemudian entah apa yang dikatakan antara mereka, kedua-duanya ketawa kecil.

Sophia memandang.

Lama sedikit.

“Apalah yang happy sangat dua orang ni.”

Mereka masih ketawa.

“Untunglah bercinta. Asyik gelak aje.”

Sophia kembali kepada kanvasnya.

Beberapa saat kemudian, seorang perempuan pula melintas di hadapannya. Langkahnya sedikit perlahan dan nafasnya kedengaran semput. Di tangannya ada sebotol air mineral yang masih belum berjaya dibuka.

Perempuan itu cuba lagi.

Tak boleh.

Cuba lagi.

Masih tak boleh.

Sophia yang tadinya sekadar memandang mula terasa kesian.

“Kak, nak tolong ke?”

Perempuan itu memandang Sophia, kemudian mencuba sekali lagi.

Krakk.

Penutup botol terbuka.

“Haaa… dah boleh buka.”

Dia tersengih sebelum meneruskan perjalanan.

Sophia turut tersenyum kecil.

“Okay…”

Dia mula mengemas perkakas lukisannya. Berus dimasukkan ke dalam bekas. Pensel, kain lap dan beberapa barang kecil disumbat ke dalam beg.

Namun matanya masih mengekori perempuan tadi.

Perempuan itu berhenti di hadapan sebuah kedai.

Sophia mengerutkan dahi.

“Kedai apa yang dia masuk?”

Dia melihat jam.

“Ada kedai lagi ke buka malam-malam ni?”

Belum sempat dia berdiri, pasangan yang ketawa tadi muncul semula.

Keluar dari kedai yang sama.

Sophia memandang papan tanda, kemudian ke arah pintu kedai.

Kedai keris.

“Hmmm.”

Entah kenapa, kakinya membawa dia ke sana.


Bunyi loceng kecil kedengaran ketika Sophia menolak pintu.

Matanya segera menangkap perempuan air mineral tadi.

“Oh, kak ni.”

Perempuan itu tidak menyedari kehadirannya. Dia sedang berdiri bersama seorang pekerja kedai sambil menunjuk ke arah sesuatu yang tergantung pada dinding.

“Adik, ambil keris tu.”

Pekerja tersebut mengangguk lalu mencapai sebilah keris.

Atau sekurang-kurangnya cuba mencapainya.

Tangannya memegang sarung keris itu.

Dia menarik.

Tidak bergerak.

Dia mencuba lagi.

Masih tidak bergerak.

Sophia yang berdiri beberapa langkah dari situ mula memerhati.

Pekerja itu menukar posisi tangan lalu menarik lebih kuat.

Tetap sama.

Perempuan tadi akhirnya mengeluh.

“Tak apalah.”

Beberapa minit kemudian dia keluar dari kedai dengan wajah kecewa.

Sophia menunggu pintu tertutup sebelum berjalan menghampiri dinding tadi.

“Ni ke keris tadi?”

Dia tidak terus menyentuhnya.

Matanya terlebih dahulu meneliti ukiran pada sarung.

Halus.

Terlalu halus.

Bagi orang lain mungkin ia cuma sebilah keris lama. Tetapi bagi seseorang yang menghabiskan berjam-jam melukis garis, bayang dan tekstur, Sophia boleh nampak kerja tangan yang ada padanya.

Dia menggosok perlahan permukaan sarung keris itu dengan hujung jari.

“Bang.”

Pekerja tadi berpaling.

“Keris ni baru ke?”

“Tak. Ni keris orang bagi.”

Sophia memandangnya semula.

“Jadi… jual ke?”

Pekerja itu terdiam sekejap.

“Boleh tengok. Saya nak buka dalam dia.”

Wajah pekerja itu berubah sedikit.

Dia kembali ke dinding dan cuba mengambil keris tersebut.

Sekali.

Tak boleh.

Dua kali.

Tak boleh.

Sophia mula pelik.

“Bang…”

Pekerja itu mencuba sekali lagi.

“Boleh saya cuba tak?”

Dia berundur.

“Cubalah.”

Sophia memegang sarung keris tersebut.

Dia memusingkannya sedikit ke kiri.

Tak ada apa.

Ke kanan.

Klik.

Keris itu terlepas begitu sahaja dari tempatnya.

Sophia terkaku.

Pekerja kedai itu juga terkaku.

Mereka saling berpandangan.

“…”

“…”

Sophia mengangkat kening.

“Okay.”

Dia memegang hulu keris dan cuba menarik bilahnya keluar.

Tak boleh.

Dia cuba kali kedua.

Masih tidak bergerak.

“Awak cuba baca Bismillah,” kata pekerja itu.

Sophia mengangguk kecil.

“Bismillahirrahmanirrahim.”

Dia menarik.

Kali ini bilah keris itu terhunus.

Serentak dengan itu—

secebis kertas tua terjatuh ke lantai.

DONG!

Bunyi jam besar berdentang kuat.

Tepat dua belas malam.

“ARGHHHH!”

Sophia dan pekerja kedai itu menjerit serentak.

Kedua-duanya terdiam.

Saling berpandangan lagi.

Sophia yang masih memegang keris menelan air liur.

“Sini ada hantu ke?”

“Mulut jangan cabul, wak!”

Sophia tersengih.

“Sorry.”

Dia tunduk lalu mengambil cebisan kertas yang jatuh tadi.

Tulisan Jawi memenuhi permukaannya.

Sophia memicingkan mata.

“Aku rasa aku tak buta Jawi…”

Dia mendekatkan kertas itu ke wajah.

Kemudian menjauhkan semula.

“Ya Allah…”

Pekerja kedai menunggu.

“Binatang apakah ini?”

Pekerja itu merampas pandangan pada kertas tersebut.

“Eh, tulisan lama ni.”

“Awak boleh baca?”

“Tak sangat.”

Dia tiba-tiba berpaling ke bahagian belakang kedai.

“Jap. Ada seorang boleh baca.”

Dia meninggikan suara.

“Pakcikkkk! Oi, pakcik!”

Seorang lelaki tua muncul perlahan dari belakang.

Sophia memandangnya.

Kemudian berbisik,

“Tu bukan pakcik. Dah macam atok je.”

Pekerja itu menjeling.

Orang tua tersebut mengambil cebisan kertas daripada tangan Sophia. Lama dia menelitinya.

“Hmm…”

Sophia menunggu.

“Macam mana, pakcik?”

“Bahasa lama.”

“Haah.”

Orang tua itu mendekatkan kertas kepada cahaya.

“Ini…”

Dia membaca perlahan.

“Suatu… hari… yang indah.”

Sophia menunggu.

Orang tua itu diam.

“Hah?”

Sophia mengerutkan dahi.

“Apa?”

“Itulah.”

“Tu je?”

“Ada lagi.”

Sophia kembali rapat.

“Mana?”

“Halus sangat. Mata pakcik dah tak nampak sangat.”

Dia cuba mengeja.

“Kaf…”

Sophia menunggu penuh perhatian.

“Nun…”

“Ha.”

“Dal…”

“Ha.”

“Alif…”

Orang tua itu mengerutkan dahi.

“Kunda?”

Sophia turut mengerutkan dahi.

“Kunda?”

“Mungkin.”

“Kundur?”

“Bukan.”

“Kuda?”

“Mana ada nun kalau kuda.”

Sophia mengangguk.

“Betul juga.”

Orang tua itu memandang tulisan tersebut sekali lagi.

“Mungkin nama orang. Mungkin pemilik asal keris ni.”

Sophia mengambil semula cebisan kertas itu.

Entah kenapa, matanya tidak boleh berhenti memandang tulisan tersebut.

Suatu hari yang indah.

Kunda?

Kundur?

Kuda?

“Apa benda…”

Dia menghulurkan keris itu kembali kepada pekerja kedai.

“Nah.”

Pekerja itu tidak menyambut.

“Akak ambiklah.”

Sophia memandangnya.

“Hah?”

“Ambiklah.”

“Mana boleh ambik macam tu aje.”

“Kalau macam tu akak bayarlah ikut suka.”

Sophia ketawa kecil.

“Saya nak buat apa, wak, dengan keris ni?”

Pekerja itu mengangkat bahu.

“Entah.”

Sophia melihat keris tersebut.

Kemudian cebisan kertas di tangannya.

Sepatutnya dia letakkan sahaja semuanya kembali.

Balik.

Mandi.

Tidur.

Esok pergi kerja seperti biasa.

Tetapi beberapa minit kemudian, Sophia keluar dari kedai itu dengan sebilah keris lama di dalam begnya.

Dia sendiri tidak tahu kenapa dia membelinya.

Sebenarnya, bukan keris itu yang menarik perhatiannya.

Tangannya masuk ke dalam poket.

Dia mengeluarkan semula cebisan kertas tadi.

Di bawah cahaya malam Melaka, Sophia cuba mengeja sekali lagi.

“Kundur…?”

Dia menggeleng.

“Kunda?”

Dia mendekatkan kertas itu.

“Kuda?”

Diam.

“Tapi ada nun…”

Sophia memasukkannya kembali ke dalam poket.

“Apa benda entah.”

Lalu dia berjalan pergi.

Tanpa mengetahui bahawa lima ratus tahun dahulu, seorang perempuan pernah berdiri di bumi yang sama—

menangis memanggil seorang lelaki yang berjanji akan kembali kepadanya.

Di suatu hari yang indah.


No comments:

Post a Comment

JANJI YANG TAK TERUNGKAPKAN : BAB 1

BAB 1 Melaka Straits, 2026 Sophia meletakkan sapuan terakhir pada kanvasnya. Dia menjauhkan sedikit tubuh, memicingkan mata, kemudian mem...