Majlis penyampaian hadiah pertandingan Suatu Hari Yang Indah berlangsung di sebuah dewan acara yang dihias dengan konsep moden dan klasik.
Di pintu masuk, sebuah papan besar memaparkan logo ThrowBag bersama slogan kempen yang telah menjadi sebutan ramai sejak beberapa minggu lalu.
SUATU HARI YANG INDAH — A LOVE STORY BY THROWBAG
Sophia melangkah masuk sambil memeriksa telefon bimbitnya.
Wanita itu terkejut.
Kemudian menangis sambil ketawa.
Rupa-rupanya suaminya memang pulang pada hari tersebut.
Beg tangan dan surat itu hanyalah sebahagian daripada kejutan yang dirancang.
Video tersebut bukan sekadar memenuhi tema pertandingan. Ia mempunyai sebuah cerita yang lengkap.
Dan itulah yang menarik perhatian Sophia.
“Hi! Congratulations!”
Sophia menghulurkan tangan kepada wanita itu.
“Thank you, Sophia!”
“Oh, you know me?”
“Mestilah. Saya follow semua video ThrowBag.”
Sophia ketawa.
“Okay, now I feel famous.”
Mereka berbual seketika sebelum Sophia mengemukakan soalan yang sejak tadi bermain di fikirannya.
“Actually, I nak tanya. Macam mana you dapat idea surat cinta tu?”
Wanita itu tersenyum.
“Oh, idea suami saya.”
“Really?”
“Haah. Dia kerja dekat Arkib Negara.”
Sophia mengangguk.
“Okay…”
“Bila tengok tema pertandingan Suatu Hari Yang Indah, dia kata macam pernah jumpa ayat tu dalam bahan lama yang dia baca.”
Sophia berhenti tersenyum.
“Pernah jumpa?”
“Haah. Dia cuba cari dalam indeks arkib. Lepas tu jumpa satu bahan yang dikategorikan sebagai karya sastera lama.”
“Sastera?”
“Surat cinta. Tapi bahasa lama sangatlah. Saya pun tak berapa faham.”
Sophia semakin berminat.
“Wait. You mean, Suatu Hari Yang Indah tu memang ada dalam manuskrip lama?”
“Lebih kurang macam tu. Suami saya kata mungkin karya sastera zaman perang. Dah hampir lima ratus tahun.”
Sophia terdiam seketika.
Lima ratus tahun.
Keris yang dibelinya di Melaka tiba-tiba terlintas dalam fikirannya.
Dan cebisan kertas Jawi yang ditemui bersamanya.
Suatu hari yang indah…
“Can I meet your husband? I nak tanya sikit.”
“Boleh. Dia dekat sana.”
Wanita itu menunjukkan ke arah seorang lelaki yang sedang berbual dengan beberapa tetamu.
Mereka baru hendak melangkah apabila—
“SOPHIA!”
Jess melambai dari hadapan pentas.
“Come here! Majlis dah nak bermula!”
Sophia menutup mata seketika.
Of course.
Dia berpaling kepada wanita tersebut.
“Sorry, I kena pergi dulu. Nanti I cari you balik, okay?”
“Okay!”
Sophia bergegas ke arah Jess.
Majlis berjalan lancar.
Jess memberikan ucapan ringkas, berkongsi kisah di sebalik kempen ThrowBag dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Para tetamu mengambil gambar, merakam video dan mencuba koleksi beg tangan yang dipamerkan.
Sophia pula sibuk memastikan perjalanan acara mengikut jadual.
Tetapi fikirannya beberapa kali kembali kepada cerita wanita tadi.
Karya sastera lama?
Lima ratus tahun?
Suatu hari yang indah?
Dia cuba mengingat semula tulisan pada cebisan kertas yang ditemuinya bersama keris.
Kebetulan?
Mungkin.
Tetapi kebetulan yang agak menarik.
Sebaik sahaja majlis tamat, Sophia terus mencari pasangan tersebut.
“Hi! Sorry, tadi hectic sikit.”
“Tak apa.”
Sophia memandang suami wanita itu.
“Your wife told me you found something about Suatu Hari Yang Indah?”
Lelaki itu mengangguk.
“Oh, ya. Saya terjumpa dalam indeks bahan sastera lama.”
“Is it a real love letter?”
“Belum tentu. Ia direkodkan sebagai bahan sastera kerana gaya bahasanya. Mungkin petikan hikayat, mungkin karya persuratan. Kita tak boleh buat kesimpulan hanya daripada satu warkah.”
Sophia mengangguk perlahan.
“Can I read it?”
“Boleh. Kalau puan berminat, datanglah ke arkib. Saya boleh bantu tunjukkan rekodnya.”
Lelaki itu menghulurkan kad nama.
Sophia menyambutnya.
“Thank you so much.”
“Sama-sama. Tapi saya ingatkan awal-awal, tulisan lama. Bukan semua bahagian mudah dibaca.”
Sophia tersenyum.
“It's okay. I love a good mystery.”
Beberapa hari kemudian, Sophia berdiri di hadapan bangunan arkib.
Dia memandang kad nama di tangannya.
Kemudian bangunan di hadapan.
“Okay, Sophia. You came all the way here for one sentence.”
Dia menarik nafas.
“Very productive use of annual leave.”
Sophia melangkah masuk.
Selepas urusan pendaftaran dan semakan rekod, dia dibawa ke ruang rujukan oleh seorang pegawai.
“Puan Sophia?”
“Yes.”
“Bahan yang puan cari ada dalam koleksi persuratan lama. Kami ada salinan digital untuk rujukan. Naskhah asal disimpan dalam keadaan terkawal.”
“Okay.”
Pegawai itu membuka rekod pada komputer.
Beberapa ketika kemudian, imej sehelai warkah lama muncul di skrin.
Tulisan Jawi memenuhi permukaannya.
Di bahagian tepi terdapat catatan tarikh yang telah ditransliterasikan.
1526.
Sophia mendekatkan wajah ke skrin komputer.
Tulisan Jawi memenuhi permukaan warkah lama itu. Dia cuba membaca beberapa perkataan, tetapi masih tidak begitu yakin.
Pegawai arkib kemudian membuka transkripsi Rumi di sebelahnya.
Dinda yang sentiasa bertakhta dalam ingatan Kanda…
Sophia terdiam.
Dia membaca ayat itu sekali lagi.
“Kanda?”
Matanya membesar sedikit.
“Owhhhhhhh!”
Pegawai arkib menoleh.
“Kenapa, puan?”
Sophia menepuk perlahan dahinya.
“Kanda rupanya! Bukan Kunda, Kundur mahupun Kuda!”
Pegawai arkib memandangnya dengan wajah hairan.
“Kuda?”
Sophia ketawa seorang diri.
“Sorry, sorry. Saya ada jumpa satu cebisan tulisan Jawi sebelum ni. Saya ingatkan nama orang. Saya baca macam-macam, tapi tak dapat teka.”
“Oh, begitu.”
"Patutlah! Kanda!”
Sophia menggeleng sambil tersenyum.
“Nasib baik bukan Kundur. Kesian Dinda.”
Pegawai arkib cuba menahan senyum.
Sophia kembali memandang skrin.
“Okay, okay. Continue.”
Dia mula membaca baris seterusnya.
Dan tanpa disedarinya, satu perkataan yang selama ini menjadi bahan teka-teki akhirnya menemukan maknanya.
Kanda.
Warkah yang ditemukan
Dinda yang sentiasa bertakhta dalam ingatan Kanda,
Adapun keadaan Kanda di rantau ini tiadalah seindah yang pernah Kanda khabarkan. Siang berganti malam dengan dentuman senjata, dan malam menyambut siang bersama perkhabaran gugurnya sahabat seperjuangan.
Seorang demi seorang pergi mendahului kami. Ada yang sempat menitipkan pesan buat keluarga, ada yang pergi tanpa sempat menyebut nama insan yang dirinduinya.
Dalam segala dukacita itu, hanya kenangan akan Dinda menjadi penawar bagi hati Kanda yang kian lelah.
Masih Kanda ingat akan senyuman Dinda tatkala menyambut kepulangan Kanda, akan tawa Dinda yang menghilangkan segala resah, dan akan suara Dinda yang selalu meminta Kanda berjanji supaya pulang.
Dinda, ketahuilah bahawa tiada sehari pun berlalu tanpa Kanda mengenangkan wajahmu.
Andai diizinkan Tuhan, akan Kanda rentasi segala lautan dan daratan untuk kembali ke sisimu.
Namun, andai pada suatu hari yang indah itu bukanlah jasad Kanda yang tiba di muka pintu rumah kita, maka terimalah keris yang Kanda tinggalkan sebagai pengganti diri.
Peliharalah ia sebagaimana Dinda memelihara kenangan kita, kerana pada besi yang dingin itu pernah Kanda sandarkan janji yang hangat di dada.
Janganlah Dinda menyangka bahawa jauhnya perjalanan bererti lunturnya kasih.
Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah Kanda mencari jalan pulang.
Dan andai takdir menutup segala jalan di dunia ini, mudah-mudahan Tuhan mempertemukan kita kembali di suatu hari yang lebih indah daripada segala hari yang pernah kita impikan.
Daripada Kanda, yang tidak pernah berhenti merindui Dinda.
Sophia membaca perenggan terakhir sekali lagi.
Kemudian matanya kembali kepada satu perkataan.
Keris.
Dia bersandar perlahan.
Okay… that's interesting.
Pegawai arkib yang duduk di sebelahnya memerhatikan reaksi Sophia.
“Cantik bahasanya, kan?”
Sophia mengangguk.
“Very beautiful.”
“Bahan macam ni selalunya menarik perhatian pengkaji sastera. Banyak unsur percintaan, pengorbanan dan peperangan.”
Sophia memandang semula skrin.
“Encik… ada tak sambungan surat ni?”
Pegawai itu menyemak rekod.
Sophia menunggu.
Beberapa minit berlalu.
Pegawai itu menggeleng.
“Tak ada lagi yang sepadan dalam carian ini.”
Sophia kelihatan sedikit kecewa.
“Tapi ada beberapa bahan persuratan dengan gaya hampir sama yang pernah direkodkan di institusi lain. Tak semestinya daripada penulis yang sama.”
“Where?”
Ada yang di muzium. Ada juga dalam koleksi persendirian. Cuma kena semak satu-satu.”
Sophia kembali memandang surat itu.
“Actually, I baru pergi muzium dekat Melaka beberapa hari lepas. Muzium keris.”
Pegawai tersebut mengangkat muka.
“Oh, kalau puan ke muzium yang sama, ada juga ruang pameran persuratan lama.”
“Really?”
“Ya. Di aras bawah lobi.”
Sophia terdiam.
“Below the lobby?”
“Betul.”
Sophia memandang siling.
Of course.
Dia mengeluh kecil.
“I went there for the keris. Didn't even know there was another floor.”
Pegawai itu tersenyum.
“Kalau puan berminat, boleh cuba rujuk koleksi di sana. Mungkin ada sesuatu yang berkaitan.”
Sophia mengangguk.
“Okay. Thank you.”
Dia menyimpan maklumat rujukan yang dibenarkan untuk dicatat.
Sebelum bangun, Sophia memandang sekali lagi warkah di skrin.
Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah Kanda mencari jalan pulang.
Sophia tersenyum kecil.
“Whoever wrote this… he really knew how to write a love letter.”
Pegawai itu ketawa perlahan.
“Orang dulu-dulu memang pandai bermain bahasa.”
“Apparently.”
Sophia mengambil beg tangannya.
Namun sebelum meninggalkan ruang rujukan, dia menoleh sekali lagi ke arah skrin komputer.
Ada sesuatu pada surat itu yang membuatkannya sukar melupakan setiap patah perkataan.
Bukan kerana kisah peperangannya.
Bukan juga kerana usianya yang hampir lima ratus tahun.
Tetapi kerana satu perkara.
Seorang lelaki pernah menulis bahawa jika dia tidak dapat pulang, biarlah kerisnya pulang menggantikan diri.
Dan di rumah Sophia, terdapat sebilah keris yang telah berubah daripada besi berkarat menjadi keemasan.
Sophia belum menghubungkan kedua-duanya.
Belum lagi...
Adakah keris yang akan menjadi saksi
Atau surat cinta Kanda kepada Dinda menjadi misteri kepada Sophia...